Alangkah besar dan berharga anugerah rahmat Allah yang bernama lidah. Salah satu pancaindera amanah kurniaan yang Maha Esa yang kita harus gunakan dengan baik dan penuh kesyukuran, dengannya kita berkomunikasi, menyampaikan maklumat dan meluahkan perasaan kita kepada orang-orang lain. Kita tak dapat lari daripada bergantung kepadanya dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari, menjalin hubungan sesama insan.
Akan tetapi, berapa ramai antara kita yang sedar akan tanggung jawab yang besar yang Allah syaratkan bersama-sama dengan anugerah pancaindera ini? Akan tanggung jawab untuk menjaganya dengan baik? “Menjaga” di sini bukan bermaksud menjaga kebersihan fizikalnya, yang sememangnya penting, tetapi maksudnya di sini adalah menjaga kata-kata yang kita luahkan. Adakah kita menjaga kata-kata kita yang kita luahkan sama ada baik atau buruk? Sama ada benar atau dusta?






